Hidup memang tidak lengkap kalau kita tidak pernah menghadapi cabaran. Namun, kalau cabaran itu datang pada masa yang salah, tidak semena-mena kita akan kebingugan. Itu sudah menjadi adat dunia hari ini. Sebut sahaja perkataan 'naik', pasti ramai yang mula berkira-kira untuk naik. Pekedai mahu naikkan harga, suri rumah dan si suami ada yang naik darah, pembeli lainnya pula makin ramai yang mula naik marah. Ini lebih tepat jika kita katakan ianya berkaitan dengan harga barang tertentu yang ada pasang surutnya. Ia bukan hanya berkaitan dengan barang-barang runcit, bahkan perkhidmatan sesuatu 'benda' juga mula mendapat perhatian yang kurang baik daripada masyarakat.
Memang adat jika harga dunia berkaitan dengan sesuatu barang atau perkhidmatan meningkat, kita juga akan merasa tempiasnya, walaupun kita berada nun jauh di negara tercinta. Namun, jika difikirkan tentang ketidak mampuan sesetengah masyarakat, adalah tidak adil untuk mengheret mereka juga ke dalam lembah isu ini. Ini kerana, mereka dari segi corak hidup adalah tidak akan berubah sepantas kilat seperti mana mereka yang berada pada status yang lebih tinggi. Malahan jika mereka didedahkan dengan isu kenaikan harga ini sama seperti orang lain yang mempunyai kedudukan status kewangan yang lebih tinggi, kesakitannya adalah lebih pedih.
Pada masa yang sama, kita tidak boleh sewenang-wenang menyalahkan pihak-pihak tertentu dengan tidak membawa kepada perbincangan yang khusus yang mana dalam setiap perbincangan mesti disusuli dengan satu tindakan yang drastik. Ini kerana, jika kita melemparkan tepung terus ke dalam air tanpa menjadikannya sejenis kueh yang sedap, kita hanya akan melihat air itu kelihatan putih tanpa kita sempat merasa kelebihan tepung itu sendiri. Secara ironiknya, kenaikkan itu memang sesuatu yang tidak disukai jika ianya berkaitan dengan harga. Namun ianya tetap ada ruang untuk disukai jika ianya adalah berkaitan dengan gaji.
Pada hemat anda pula bagaimana? Adakah kenaikkan harga barang dan perkhidmatan ini tidak membebankan masyarakat atau kita hanya perlu menyusuri arus kenaikkan ini kerana kita semengnya sudah berada dalam masyarakat tersebut?